[MS] Kajian Terhadap Building Energy Index (BEI) di Kolej Komuniti Temerloh Study on Building Energy Index (BEI) at Temerloh Community College, Malaysia

  • Muhammad Iswan Ismail Kolej Komuniti Temerloh
  • Mohd Yusof Yaziz Kolej Komuniti Temerloh

Abstract

Kertas kerja ini membentangkan dapatan kajian terhadap Building Energy Index (BEI) bagi Kolej Komuniti Temerloh. Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), Building Energy Index (BEI) adalah satu kaedah penanda aras dalam memantau prestasi tenaga bangunan dengan merujuk intensiti tenaga yang digunakan bagi setiap meter persegi luas. Indeks dikira dengan mengambil nisbah antara penggunaan tenaga tahunan bangunan (kWj/tahun) dan luas lantai bersih bangunan atau Nett Floor Area (NFA). Mengikut piawaian MS1525:2007, Building Energy Index (BEI) yang disyorkan di Malaysia adalah 135kWj/m²/tahun dan ianya dinilai sebagai 3 bintang menurut julat BEI yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Walau bagaimanapun, hampir keseluruhan bangunan tidak memenuhi piawaian ini. Pemilik bangunan atau pengguna bangunan tidak mengetahui sama ada bangunan mereka mencapai atau tidak keperluan ini. Persoalannya adakah Kolej Komuniti Temerloh mencapai standard yang disyorkan ini? Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengkaji berapakah nilai bagi BEI bangunan kampus ini dan kemudian untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi penggunaan tenaga dan kos. Untuk mendapatkan maklumat dan data asas, analisis dilakukan berdasarkan data yang dikumpul, tinjauan di tapak dan penilaian kualitatif ke atas bangunan dan sistemnya. Berdasarkan kiraan BEI kolej didapati bahawa pada tahun 2020 mencatatkan nilai 53.24 kWj/m2/tahun (sangat cekap tenaga) manakala pada tahun 2021 mencatatkan nilai BEI terendah iaitu 43.60 kWj/m2/tahun (sangat cekap tenaga) dan terakhir sekali adalah nilai BEI pada 2022 iaitu 52.78 kWj/m2/tahun (sangat cekap tenaga. Berdasarkan dapatan nilai BEI tersebut maka akan diberikan beberapa cadangan dan penambahbaikan bagi mempercepatkan usaha untuk menjadikan bangunan kerajaan cekap tenaga melalui dasar “Kerajaan Menerajui Teladan”.

Published
2023-07-09