Peranan Wanita Patani dalam Bahasa dan Ekonomi di negeri Perlis selepas Pandemik Covid-19
Abstract
Peranan wanita sebagai tonggak keluarga merupakan salah satu fenomena dewasa ini yang menjadi tatapan umum. Wanita memainkan peranan yang penting dalam bidang perniagaan untuk membangunkan ekonomi keluarga. Penularan Covid-19 yang bermula sejak akhir tahun 2019 hingga kini telah menyekat aktiviti berkaitan ekonomi dan menjejaskan pendapatan peniaga. Oleh yang demikian, wanita Melayu Patani yang menjalankan perniagaan di Padang Besar, Perlis turut terkesan dengan sekatan merentas sempadan negara dan menjalankan perniagaan secara bersemuka (offline). Oleh itu, kajian ini memfokuskan kepada peranan wanita Patani yang menjalankan perniagaan di sempadan Malaysia –Thailand (cross border business). Aktiviti perniagaan adalah sumber ekonomi yang dijalankan di lokasi komersial di negeri-negeri tertentu seperti Padang Besar (Perlis) yang bersebelahan pintu masuk negara Thailand di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, kajian ini bertujuan meneliti peranan wanita Melayu Patani dari segi penggunaan bahasa. Selain itu, kajian ini bertujuan menjelaskan peranan wanita Melayu Patani dari segi ekonomi. Kajian ini dijalankan secara pemerhatian di Waremart Padang Besar, Perlis dan menjalankan temu bual bersama wanita Melayu Patani yang menjalankan perniagaan di Waremart, Padang Besar, Perlis. Dapatan kajian menunjukkan wanita Melayu Patani menggunakan dialek Patani dengan meluas dalam urusan jual beli di sempadan. Malah, mereka juga menggunakan bahasa Thai untuk urusan mendapatkan barang modal dari negara Thailand. Pandemik Covid-19 telah menjejaskan perniagaan rentas sempadan tetapi wanita Melayu Patani kembali menjalankan perniagaan dan berusaha membangunkan kembali perniagaan mereka seperti sebelum pandemik berlaku. Kajian ini diharapkan dapat membuka dimensi baharu seterusnya membantu kajian yang berkaitan pada masa akan datang.






